KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) mengunjurkan ambilan guru baharu secara keseluruhan antara 16,886 hingga 20,081 orang bagi tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata unjuran ambilan guru baharu bagi tempoh 2023 hingga 2027 itu adalah untuk bekalan sekolah menengah dan sekolah rendah KPM berdasarkan data pada 31 Dis tahun lepas.

“KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata bagi 2021 hingga Januari tahun ini, KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru melibatkan 148 bidang pengkhususan melalui kaedah one-off dan Kluster Mata Pelajaran (KMP) sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

Beliau berkata bidang pengkhususan yang diberi perhatian antaranya bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah dengan urusan pengambilan itu akan berterusan bagi tahun ini dan seterusnya untuk mengisi kekosongan di sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here