BUKIT MERTAJAM, 27 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat sebarang keputusan muktamad untuk menghentikan pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap, di Nibong Tebal.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk guru besar dan wakil sekolah tersebut.

“Perbincangan masih diteruskan, tidak timbul isu ada sebarang keputusan muktamad atau tidak.Tetapi untuk pendidikan anak-anak ini, kita sentiasa beri serta buka ruang luas untuk perbincangan dari semasa ke semasa, jadi jangan risau,” katanya.

Mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri yang tidak menyokong pembinaan bangunan tambahan itu, beliau berkata, surat tersebut hanya satu pandangan dan proses biasa namun rundingan serta alternatif lain sedang diusahakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah terbabit.

“Surat yang dikeluarkan itu bukan memuktamadkan, sebaliknya hanya satu pandangan yang mengikut proses.Tiada masalah mengenai surat itu, tetapi proses lain untuk mencari jalan penyelesaian isu-isu yang menjadi kebimbangan kepada guru besar sekolah dan komuniti masih diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan awal sebanyak RM3.5 juta dan memperuntukkan tanah seluas kira-kira 1.6 hektar pada 2015 untuk pembinaan bangunan baharu sekolah tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here