JOHOR BAHRU, 28 Mac – Kementerian Pengangkutan (MOT) tiada perancangan untuk menaikkan kadar bayaran permit masuk kenderaan (VEP) yang dikenakan ke atas kenderaan berdaftar dari Singapura ke negara ini. 

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata setakat ini jumlah bayaran VEP yang dikenakan iaitu RM20 akan dikekalkan.

Beliau berkata tindakan menaikkan kadar VEP itu hanya akan menyebabkan kerajaan Singapura mengenakan kadar bayaran yang lebih tinggi ke atas kenderaan Malaysia yang masuk ke republik itu. 

“Kita belum ada apa-apa cadangan untuk meningkatkan VEP di peringkat kerajaan Persekutuan dan kementerian kerana kalau kita tingkatkan (bayaran) untuk kenderaan Singapura, mereka juga akan mengenakan ‘road charge’ yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke negara itu.

“Jadi kita kena lihat timbal balik itu, kita juga hendak menggalakkan pelancong dari Singapura untuk masuk ke Johor dan menyumbang kepada ekonomi, jadi setakat ini belum ada cadangan menaikkan kadar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad kepada kerajaan pada 21 Mac lepas, agar menaikkan kadar VEP khusus bagi kenderaan warga Singapura yang mahu memasuki negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di Johor.

Pandak dilapor berkata kenaikan bayaran VEP itu dilihat wajar memandangkan kadar tersebut ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan tukaran mata wang negara jiran berkenaan.

Sementara itu, Loke ketika ditanya mengenai sama ada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) akan diwujudkan di Johor Bahru, beliau berkata terdapat cadangan daripada sebuah syarikat swasta untuk membinanya di bandar raya ini.

Bagaimanapun, menurutnya perkara itu masih dalam peringkat cadangan. 

“Baru-baru ini saya didatangi satu cadangan daripada sebuah syarikat swasta untuk membina LRT di Johor Bahru, tetapi perkara itu masih dalam peringkat cadangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here