HANOI, 29 Mac – Vietnam muncul sebagai antara rakan kongsi terdekat Malaysia selama ini, dari segi ekonomi dan sosial, kata Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.

Dalam temu bual khas dengan Agensi Berita Vietnam (VNA) sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Vietnam-Malaysia, Tan berkata kedua-dua negara memeterai perkongsian strategik pada 2015, dan kedua-dua pihak telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan memperoleh faedah yang luar biasa melalui pelaksanaan Pelan Tindakan 2021-2025.

“Malaysia dan Vietnam harus memanfaatkan sepenuhnya inisiatif dua hala dan pelbagai hala demi meningkatkan perdagangan, seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.

Mengenai hubungan pelaburan, Tan berkata Vietnam kekal sebagai antara destinasi paling menarik bagi pelabur asing dan dengan ekonomi yang berkembang pesat, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) ke Vietnam sentiasa meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata pelabur Malaysia juga berminat untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Vietnam dalam bidang yang berpotensi besar, seperti pertanian dan akuakultur, produk halal, makanan diproses, serta produk dan komponen elektronik.

Tan berkata Malaysia gembira bahawa kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan antara kedua-dua negara berkembang dengan baik, sambil menekankan bahawa Malaysia menantikan pembaharuan Memorandum Persefahaman dua hala mengenai Kerjasama Pertahanan yang tamat pada 2018.

“Ini akan membolehkan rangka kerja yang lebih terarah dan tersusun antara kedua-dua pihak di samping mengukuhkan hubungan dua hala serta menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau,” katanya.

Menurut duta itu, Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, menawarkan peluang kepada Vietnam dan beberapa anggota ASEAN lain untuk menyertai Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Malaysia untuk menggalakkan kerjasama teknikal di kalangan negara membangun, mengukuhkan kerjasama serantau dan sub-serantau serta memupuk sikap berdikari secara kolektif di negara membangun.

“Sejak 1973, hubungan antara Malaysia dan Vietnam telah bertambah kukuh, dan saya optimis ia akan terus berkembang memandangkan banyak usaha dua hala dan serantau sedang dijalankan oleh kedua-dua negara,” kata duta itu.

Jumlah dagangan dua hala mencecah kira-kira US$19.4 bilion pada 2022, meningkat 16 peratus berbanding 2021.

Vietnam ialah rakan dagangan ke-12 terbesar Malaysia tahun lepas dan keempat terbesar di ASEAN, selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here