KUALA LUMPUR, 31 Mac – Malaysia dan Vietnam yang meraikan 50 tahun hubungan diplomatik tahun ini tetap yakin dengan komitmen bersama untuk memperkukuh Perkongsian Strategik dan terus berusaha ke arah keamanan serta kemakmuran di rantau ini dan dunia.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawatannya dari Vietnam Bui Thanh Son berkata walaupun menghadapi cabaran selama bertahun-tahun dalam membina hubungan, Malaysia dan Vietnam terus memberi tumpuan kepada peluang untuk merapatkan hubungan dua hala dan serantau bersama-sama.

“Tumpuan untuk kepentingan bersama telah menyumbang kepada Komuniti ASEAN yang telah menjadi penggerak utama dalam rangka bina serantau yang lebih besar.

“Kami menegaskan komitmen kami untuk memperdalam kerjasama politik dan ekonomi. Bagi tujuan ini, kami terus komited untuk melaksanakan Pelan Tindakan 2021-2025 di bawah Perkongsian Strategik antara Malaysia dan Vietnam.”

Dikeluarkan sempena Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Vietnam, menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri luar akan berusaha untuk mempromosi dan menggerakkan penglibatan peringkat tinggi secara tetap dan mengukuhkan mekanisme kerjasama dua hala.

“Selaras dengan komitmen ini, kami berharap untuk bertukar-tukar lawatan peringkat tinggi tahun ini, serta penganjuran Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik dan Teknologi (JCM) dan Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC).

“Kami akan meneruskan usaha kerjasama kami di forum pelbagai hala sebagai tindak balas kepada cabaran global. Kami sangat menghargai penglibatan rakyat dengan rakyat yang berkembang pesat antara Malaysia dan Vietnam dan yakin dengan manfaat bersama hasil penglibatan ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Vietnam pada 30 Mac 1973.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here