KUALA LUMPUR, 5 April – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) terlibat dalam menyelaraskan forum perniagaan dan perbincangan meja bulat bersama pengimport berprofil tinggi dan peneraju industri di China.

Ia sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, dari 29 Mac hingga 1 April 2023.

Dalam perbincangan meja bulat yang dipengerusikan oleh Anwar pada 1 April, MATRADE memperoleh sejumlah RM2.44 bilion potensi jualan melibatkan sembilan pengimport utama China.

Agensi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata produk yang diminati pengimport dari Malaysia termasuk minyak sawit dan produk berkaitan, sarang burung yang boleh dimakan, makanan dan minuman, durian serta produk daripada besi.

“MATRADE yang mengikuti trend penawaran dan permintaan terkini, menggandingkan segera pengimport China dengan pembekal Malaysia.

“Selain itu, MATRADE telah menawarkan bantuan kepada pengimport untuk menghubungi pembekal Malaysia, sama ada secara maya atau fizikal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

MATRADE berkata semasa forum perniagaan yang dihadiri oleh lebih 1,000 wakil perniagaan China dan Malaysia, sebanyak 19 memorandum persefahaman telah dimeterai, disaksikan oleh Perdana Menteri, merangkumi kerjasama perdagangan dan pelaburan serta kerjasama pertukaran budaya.

China telah menjadi rakan kongsi dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, merangkumi 17.1 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

MATRADE berkata pada 2022, China kekal sebagai destinasi eksport utama dan sumber import Malaysia, berikutan eksport Malaysia ke China melepasi paras RM200 bilion buat kali pertama, berkembang sebanyak 9.4 peratus ke paras tertinggi sepanjang masa RM210.62 bilion, manakala import dari China meningkat sebanyak 20.7 peratus kepada RM276.5 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here