BEIJING, 5 April — Menanam pokok sempena Hari Qingming antara tradisi yang diamalkan rakyat China sejak zaman purba.

Menjelang Hari Qingming yang jatuh pada 5 April, Presiden Xi Jinping pada Selasa menghadiri aktiviti penanaman pokok di sebuah taman di daerah Chaoyang, Beijing.

Ia juga merupakan kali ke-11 beliau menyertai aktiviti seumpama sejak menyandang jawatan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC).

“Penanaman pokok besarnya makna”

Semasa berinteraksi dengan penduduk tempatan yang turut menyertai aktiviti berkenaan, Xi berkata penanaman pokok mempunyai makna yang besar kerana ia akan memberi manfaat kepada generasi akan datang dan perlu diteruskan secara konsisten.

China mendahului dunia dalam skala penanaman semula hutan buatan dan kawasan penanaman masih berkembang, kata Xi, sambil menambah bahawa rakyat China membuat sumbangan besar dalam menghijaukan Bumi dan menguruskan perubahan iklim global.

Untuk rekod, China mewujudkan hutan buatan seluas 68 juta hektar sejak 2012, terdepan di dunia dalam skala penanaman semula hutan buatan.

“Banyak nostalgiaku berkaitan dengan pokok”

“Saya membesar di Beijing, banyak nostalgiaku adalah berkaitan dengan pokok,” kata Xi.

Menurut beliau, pokok-pokok seperti pokok locust, pokok pisang kaki dan pokok delima banyak ditanam di pekarangan rumah tradisional Beijing yang dikenali sebagai Siheyuan.

Beliau menyarankan supaya lebih banyak jenis pokok yang warnanya berbeza ditanam di Beijing bagi memperindah bandar raya ini.  

“Pembangunan hijau merupakan strategi utama bagi pembangunan negara”

Xi juga menegaskan bahawa pembangunan hijau merupakan strategi utama yang dilaksanakan sekarang dan pada masa hadapan.

Beliau mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan supaya memantapkan pelaksanaan kempen penanaman pokok dan menggalakkan penyertaan masyarakat secara sukarela.

Sejak kempen penanaman pokok secara sukarela dilancarkan di Beijing, aktiviti itu menyaksikan sebanyak 220 juta batang pokok ditanam membabitkan penyertaan lebih 100 juta orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here