PUTRAJAYA, 6 April – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) mengutuk tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta kesucian masjid itu. 

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan mereka segera membebaskan semua tahanan Palestin.”

Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera dan ratusan yang lain telah ditahan.

Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel untuk segera menghentikan sebarang tindakan provokatif demi keamanan dan kestabilan.

“Malaysia teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam.”

Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. 

Tentera Israel pada Rabu menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here