BENTONG, 11 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan Op Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri bermula dari 18 hingga 27 April ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata sebanyak 231 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan atau “hotspot” yang mana pemantauan akan ditingkatkan di kawasan terlibat. 

“Kalau kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan biasanya pendekatan yang digunakan adalah menempatkan kereta peronda untuk mengadakan rondaan supaya dengan kehadiran pegawai penguat kuasa pemandu akan lebih berhati-hati.

Saya harap pengguna patuh kepada peraturan jalan raya terutama di kawasan Pahang kerana ia merupakan laluan utama ke Pantai Timur dari Lembah Klang dan sudah tentu berjuta kenderaan akan lalu. Selain itu, kita juga akan laksanakan larangan kepada kenderaan berat seperti biasa,” katanya. 

Sementara itu, Loke memaklumkan selain di daerah ini dua lagi bangunan baharu JPJ sedang dibina iaitu masing-masing di Sarikei, Sarawak dan Muar, Johor. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here