ALOR SETAR, 14 April – Kedah akan melaksanakan program i-talent bagi mencungkil dan mencari bakat baharu atlet para untuk digilap bagi mewakili negeri itu pada masa hadapan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata program di peringkat akar umbi itu akan dilaksanakan bermula bulan depan di 12 daerah selaras hasrat kerajaan negeri untuk memastikan Kedah mempunyai atlet pelapis yang berpontensi menggantikan atlet para sedia ada dan seterusnya menjadi atlet kebangsaan.

“Kita akan mencari bakat untuk sukan-sukan tertentu yang dipertandingkan dalam Para SUKMA dan kita yakin lebih banyak atlet dapat dilahirkan melalui program ini,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata pada Temasya Para SUKMA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 Nov tahun lepas, seramai 63 atlet kontinjen Kedah berjaya memenangi 39 pingat secara keseluruhan.

Beliau berkata atlet Kedah berjaya memungut 11 pingat emas, 16 perak dan 12 gangsa serta berada di kedudukan keenam daripada 15 negeri yang mengambil bahagian pada temasya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here