MELAKA, 14 April – Kunjungan Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dilihat dapat memperkukuh kolaborasi strategik antara UTeM dan institusi pendidikan di negara berkenaan.

Naib Canselor UTeM Dr Massila Kamalrudin berkata kunjungan Duta Besar Turkiye itu merupakan penghormatan besar buat universiti berkenaan yang akan terus memperkasa jalinan pengantarabangsaan secara meluas dan komprehensif.

“Ini selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi yang mengharapkan universiti awam terus memantapkan jaringan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

“Antara pengisian utama kunjungan rasmi tersebut berkaitan jalinan kerjasama strategik dalam konteks bahasa, kebudayaan dan mobiliti pelajar,” katanya.

Massila berkata pertemuan itu turut memfokus mengenai kerjasama Pusat Kebudayaan Turkiye (Kuala Lumpur) dengan Pusat Bahasa UTeM dalam usaha mempelbagaikan lagi bahasa ketiga di negara ini.

“Usaha ini adalah seiring dengan hasrat penguasaan pelbagai bahasa dunia termasuk bahasa Turkiye dalam kalangan pelajar di universiti ini, selari dengan aspirasi kedua-dua negara. 

“Kemungkinan besar bahasa Turkiye akan menjadi keperluan untuk pelajar yang berminat mengikuti program mobiliti ke negara itu,” katanya.

Sementara itu, Emir Salim menzahirkan penghargaan atas kerjasama strategik yang akan terjalin antara UTeM dan Turkiye, serta menyatakan rasa kagum terhadap kemajuan dan kecemerlangan UTeM yang memiliki fasiliti moden serta persekitaran kondusif.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk membantu mempromosikan program akademik yang ditawarkan oleh UTeM di Turkiye melalui Pejabat Kedutaan Besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here