KUALA LUMPUR, 15 April – Langkah kerajaan untuk meningkatkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) dijangka memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan sederhana (M40) untuk merealisasikan impiam memiliki rumah.

Penilai Asiacap Valuers and Property Consultants Sdn Bhd Kit Au Yong berkata pengumuman terbaharu itu memberi kelegaan dan berita baik kepada pemohon yang mempunyai pendapatan tinggi sedikit terutamanya mereka yang mungkin ditolak sebelum ini mengikut syarat lama.

“Ia akan memberi manfaat kepada ramai, terutamanya mereka yang bekerja di kawasan bandar dengan kos sara hidup jauh lebih tinggi, kemungkinan golongan ini akan mendapat manfaat daripada langkah ini.

“RMR ialah satu lagi program bersubsidi yang menyediakan rumah mampu milik yang selesa untuk mereka yang mempunyai tanah yang merupakan program yang baik terutamanya bagi mereka yang mempunyai akses terhad kepada pasaran pembiayaan gadai janji,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan kenaikan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi permohonan RMR daripada RM3,000 kepada RM5,000 untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang dan membuka lebih peluang kepada golongan sasar memohon skim di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu.

Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Malaysia Datuk Sr Firdaus Musa berkata dengan perubahan dasar pemilikan RMR itu, ia akan meningkatkan lebih banyak permohonan serta memperbanyakkan pemilikan rumah untuk kumpulan sasaran.

“SPNB juga harus melihat untuk mengembangkan inisiatif dari segi keluasan tanah yang lebih besar dan membuka kepada lebih banyak kategori penerima pendapatan lain dengan SPNB boleh memainkan peranan utama,” katanya.

Mengulas sama ada kenaikan itu akan menjejaskan pemohon B40, Pengarah Eksekutif CCO & Associates (KL) Sdn Bhd Chan Wai Seen berpendapat had kelayakan pendapatan yang disemak semula tidak akan menjejaskan pemohon B40 (kumpulan berpendapatan rendah)  untuk memiliki rumah sendiri.

“Berdasarkan had sekarang, B40 adalah isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM4,850, iaitu sedikit di bawah paras kelayakan baharu iaitu RM5,000. Oleh itu, secara peribadi, saya tidak fikir garis panduan baharu itu akan menjejaskan peluang keseluruhan B40.

“Selain itu, berdasarkan perbelanjaan isi rumah semasa, agak mencabar bagi B40 dengan pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan untuk membeli hartanah berdasarkan kos sara hidup semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here