KUALA LUMPUR, 23 April – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, hari ini mengakhiri kem latihannya bersama skuad badminton Hong Kong.

Kem latihan itu adalah sebagai sebahagian daripada persiapan pemain nombor empat dunia itu bagi menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu bermula Selasa ini.

Sepanjang di Hong Kong, Zii Jia menjalani latihan bersama pemain perseorangan lelaki Hong Kong termasuk Ng Ka Long, Lee Cheuk Yiu, Jason Gunawan dan Chan Yin Chak.

Zii Jia turut mendapat bimbingan bekas jurulatih perseorangan kebangsaan, Wong Tat Meng yang kini berkhidmat sebagai ketua jurulatih Hong Kong.

“Meraih pengalaman yang berharga di Hong Kong dan ditemani rakan-rakan yang baik,” kata Zii Jia.

Dalam pada itu, Zii Jia turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua peminatnya yang beragama Islam.

“Semoga kalian dapat menyambut perayaan bersama keluarga di kampung dalam suasana sihat dan bahagia. Harap-harap selepas saya balik nanti masih ada saki baki rendang dan ketupat lagi,” tulisnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here