KUALA LUMPUR, 25 April – Seorang lelaki yang disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar melalui media sosial ditahan.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor dan polis turut merampas satu telefon bimbit jenama Samsung serta sekeping kad sim jenama redONE.

“Lelaki itu dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook ‘Indera Mulia’ pada Khamis lepas,” katanya.

Noorsiah berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat  esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja dan seumpamanya yang boleh membawa kepada keadaan tidak harmoni dan perpaduan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here