KUCHING, 27 April – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala COVID-19, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata setakat ini tiada garis panduan baharu dikeluarkan walaupun terdapat kemunculan subvarian Omicron baharu.

“Kita (KKM) menggalakkan, bukan mewajibkan sebab berdasarkan statistik sekarang kes sebenarnya  menurun (merujuk kes dalam Malaysia).

“Kita tidak perlu panik dengan kes yang ada walaupun berkait dengan subvarian Omicron, kes berada pada tahap 1 dan 2. Justeru, kita masih melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama, menggalakkan orang ramai dan anak-anak di sekolah pakai pelitup muka,” katanya.

Dr Zaliha berkata KKM akan terus memantau perkembangan kes baharu COVID-19 di Malaysia dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang keputusan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menaikkan XBB.1.16 sebagai varian baharu yang perlu diberikan perhatian.

Strain baharu itu mula dikesan pada Januari dan sejak itu telah ditemukan di lebih 30 negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here