IPOH, 28 April – Bandar raya Ipoh dijangka bekerjasama dengan bandar Dalian, di China dalam membangunkan sebuah bandar raya persahabatan yang bakal memberi manfaat ekonomi dan pelaburan kepada negeri Perak.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata antara cadangan pelaburan itu adalah berfokuskan kepada sektor ekonomi digital, pendidikan serta pelancongan dan wilayah, selain meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi bandar raya ini.

“Susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara China baru-baru ini, kita telah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Dalian ketika dia datang ke Ipoh awal bulan ini.

“Wakil pelaburan mereka juga ada datang dan insya-Allah mereka bersetuju untuk mewujudkan Ipoh-Dalian Technology Park di kawasan cadangan iaitu di Chepor dan Khantan kerana ia merupakan kawasan baharu dan keluasannya mencukupi,” katanya.

Katanya beliau menjangka pembinaan taman teknologi itu akan ditetapkan selepas mesyuarat Tourism Promotion Organisation (TPO) pada awal bulan hadapan.

Rumaizi berkata pada 12 Mei, satu delegasi dari China akan hadir ke Ipoh, dan beliau akan mendengar cadangan yang diutarakan mereka nanti, termasuk berkaitan kerjasama yang dirancang itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here