JOHOR BAHRU, 28 April – Lima langkah jangka pendek dirancang bagi menangani masalah kesesakan di pintu masuk negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, ketika waktu puncak. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dengan pengoperasian yang lebih efisien pada tahap maksimum masalah kesesakan lalu lintas bukan sahaja dapat dikurangkan, malah memudahkan urusan seharian rakyat.

Beliau berkata antara langkah itu termasuk semua kaunter perlu beroperasi pada tahap maksimum ketika waktu puncak, pertukaran syif perlu dilakukan luar daripada waktu puncak dan penggabungan kaunter kereta zon A, B, C, dan D di BSI perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai depan.

“Selain itu, kekurangan staf imigresen dan isu pentadbiran seperti OT (kerja lebih masa) perlu diselesaikan segera, manakala pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu terus memantau kerja-kerja syarikat konsesi dari segi penyelenggaraan kemudahan awam bangunan dan aset di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Bagaimanapun, saya mendengar dan memahami kekangan yang dialami Jabatan Imigresen negeri dan JIM, saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Insya-Allah,” katanya. 

Onn Hafiz berkata demikian menerusi catatan dalam Facebook rasminya selepas meninjau keadaan di CIQ BSI bersama Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Malaysia Datu Ken Anak Leben pagi tadi. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah JKR negeri Abu Bakar Abd Aziz. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here