KUALA LUMPUR, 28 April – Kejohanan Badminton Terbuka Perancis tahun hadapan akan diadakan awal iaitu pada bulan Mac sebagai ujian utama venue dan kemudahan yang merupakan sebahagian daripada program ujian Olimpik Paris 2024.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan hari ini berkata acara Jelajah Dunia Super 750 itu dijadualkan semula dari waktu penganjuran tradisinya dalam Oktober kepada 5 hingga 10 Mac 2024.

Kelewatan penyiapan Arena Porte de la Chapelle, yang merupakan venue badminton untuk Olimpik Paris 2024, bermakna ia tidak akan sedia diuji untuk Terbuka Perancis tahun ini yang akan berlangsung di Arena Glaz dari 24 hingga 29 Okt.

“BWF menerusi perbincangan dengan Persekutuan Badminton Perancis (FFBad) dan Jawatankuasa Penganjur Paris 2024 bersetuju untuk mengalih jadual Terbuka Perancis 2024 ke slot baharunya dalam Mac 2024 bagi memastikan kepentingan masa bagi pemain dan penganjur membiasakan diri di venue pertandingan Paris 2024, sementara Masters Orleans 2024 berlangsung lewat seminggu dari 12 hingga 17 Mac.

“Ini bermakna Kejohanan All England (Super 1000) dan Masters Orleans (Super 300) kedua-duanya akan berlangsung tahun hadapan dari 12 hingga 17 Mac, dengan Masters China (Super 100) dianjakkan ke 19 hingga 24 Mac bagi penganjuran kejohanan tambahan,” kata BWF.

BWF juga mengesahkan mata ranking Terbuka Perancis 2023 dan 2024 dan Masters Orleans 2024 kesemuanya akan diambil kira dalam Ranking Perlumbaan Ke Paris yang bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.

Badan pentadbir badminton dunia itu juga mengesahkan FFBad membuat keputusan memindahkan penganjuran Terbuka Perancis 2023 jauh dari Paris ke Arena Glaz di Rennes, bandar barat laut kerana bertembung dengan Piala Dunia Ragbi 2023.

Arena Porte de la Chapelle dengan kapasiti 8,000 orang dan akan menjadi venue kepada acara badminton, gimrama, badminton para dan powerlifitng tahun depan.

Difahamkan, kelewatan pembekalan keluli dari Ukraine berikutan konflik negara itu dengan Rusia menyebabkan kelewatan pembinaan venue berkenaan yang akan dikenali sebagai Arena Adidas selepas Olimpik dan Paralimpik Paris.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here