MANILA, 2 Mei – Gangguan bekalan elektrik di lapangan terbang di Manila pada awal pagi Isnin menyebabkan beberapa penerbangan domestik dibatalkan.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) memaklumkan gangguan bekalan elektrik di Terminal 3 berlaku sejurus selepas 1 pagi waktu tempatan pada Isnin.

“Bekalan kuasa sokongan kini membekalkan elektrik ke kemudahan kritikal yang membolehkan sebahagian sistem komputer syarikat penerbangan dan imigresen berfungsi serta membolehkan pemprosesan penumpang masuk dan keluar,” menurut MIAA.

MIAA memaklumkan bahawa kakitangan operasi kini terus melakukan pemantauan di Terminal 3 untuk membantu penumpang.

Setiausaha Pengangkutan Jaime Bautista berkata sistem penjana Terminal 3 digunakan untuk membekalkan kuasa manakala pasukan kejuruteraan MIAA sedang meneliti punca gangguan bekalan elektrik itu.

Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos, yang kini dalam lawatan rasmi ke Amerika Syarikat telah mengarahkan Bautista untuk memulihkan bekalan kuasa “secepat mungkin”.

Gangguan bekalan elektrik turut melanda lapangan terbang Manila pada Januari, mencetuskan masalah teknikal dan menyebabkan pembatalan penerbangan domestik dan antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here