SERDANG, 3 Mei – Chery Automobile Co Ltd melantik anak syarikat Sime Darby Bhd, Inokom Corporation Sdn Bhd, sebagai pemasang tempatannya bagi kenderaan Chery di Malaysia. 

Pengarah negara Chery Corporate Malaysia Leo Chen berkata perkongsian dengan Sime Darby itu bertujuan untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran sedang pesat membangun dalam rantau Asia Tenggara yang mencatatkan pertumbuhan menggalakkan.

Pada 2022, Chery mengeksport lebih daripada 450,000 kenderaan.

“Ia adalah satu perkongsian yang sangat menarik dan mengujakan. Ia mencipta pengalaman berharga dalam sektor automotif merentas rantaian nilai, yang akan menjadikannya satu perkongsian terbaik untuk berkembang bersama-sama,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu ingin mengembangkan segmen pemanduan sebelah kanannya di Malaysia tahun ini dan merancang membuka 70 bilik pameran di seluruh negara, yang mana 30 daripadanya sedang diubahsuai. 

Kerjasama dengan Sime Darby untuk memasang kenderaan Chery di negara ini dijangka bermula pada suku ketiga 2023 di kilang pengeluaran dan pemasangan kenderaan motor Sime Darby, Inokom, di Kulim, Kedah.

Dilaporkan bahawa Chery akan mula memasang Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 pada Jun diikuti pelancarannya pada Julai.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kepercayaan yang diberikan Chery itu membuktikan tenaga kerja Malaysianya yang berkelayakan dan berkebolehan tinggi serta keupayaannya untuk memberikan nilai bermakna kepada rakan kongsi. 

“Kami berharap untuk menjadi sebahagian daripada usaha inovasi berterusan Chery. Portfolio pemasangan adalah elemen utama dalam strategi pertumbuhan kami untuk Sime Darby Motors dan perkongsian ini menyokong portfolio tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here