KOTA BHARU, 13 Mei – Kerajaan Perpaduan telah mengambil pendirian untuk menangani masalah yang berkaitan dengan bekalan air untuk pengguna di negeri Kelantan, dan ia perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya beliau telah mengadakan perbincangan ringkas dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berhubung perkara itu.

Malah katanya beliau juga telah mempersembahkan ‘hasrat’ itu pada sesi menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Kelantan di Kubang Kerian, petang tadi.

“Kelantan ini hadapi masalah air agak serius, jadi saya nak cadangkan supaya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Anwar berkata beliau berpandangan tidak wajar selepas merdeka lebih 60 tahun Kelantan terus menghadapi masalah berkaitan bekalan air kepada pengguna, dan menurutnya masalah politik yang tidak berkesudahan sememangnya membebankan rakyat.

“Oleh yang demikian saya menyeru (penyelesaian) dan ini pendirian Kerajaan Perpaduan kita akan cari dana, jalan penyelesaian tetapi mesti kaedah yang betul dan mendapat kerjasama penuh Kerajaan Negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here