KUALA LUMPUR, 14 Mei – Selepas hampir 25 tahun, suara Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali bergema di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Lebih istimewa Anwar kembali berucap dipentas itu sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia dalam sebuah acara bersejarah, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduaan yang menghimpunkan 19 parti yang mendukung kerajaan pimpinannya.

Kali terakhir Anwar berucap di Dewan Merdeka adalah pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 1997 iaitu ketika beliau memegang jawatan timbalan presiden parti itu.

Anwar yang juga  Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia ketika berucap menzahirkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk kembali ke pentas itu. 

“Hari ini saya hadir dengan penuh semangat dan pelbagai perasaan kerana setelah 25 tahun, saya (kembali) berucap di Dewan Merdeka.

“Terima kasih kerana beri kesempatan untuk kembali ke Dewan Merdeka. Demikianlah kenyataan sejarah.” katanya.

Anwar sebelum ini pernah hadir bagi mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, WTC dan juga majlis berbuka puasa bersama pengamal media dan penggiat seni tanah air tetapi tidak menyampaikan sebarang ucapan.   

Terdahulu, ketika Anwar melangkah masuk ke Dewan Merdeka, beliau disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan daripada ‘lautan putih’ kira-kira lebih 3,500 hadiri yang terdiri daripada pemimpin, perwakilan 19 parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan serta penyokong kerajaan.

Sejarah juga tercipta apabila konvensyen itu turut menyaksikan ramai pemimpin tertinggi dan perwakilan serta delegasi parti politik menjejakkan kaki dan berucap buat pertama kali di Dewan Merdeka iaitu lokasi yang amat sinonim dengan UMNO.

Antara mereka adalah Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Malah dalam Sesi Bicara Rakyat, sesi dialog dan ucapan ketika Konvensyen Wanita Perpaduan dan Konvensyen Pemuda Perpaduan pada sebelah pagi, rata-rata pemimpin serta wakil parti menyifatkan perhimpunan itu sebagai ‘noktah’ kepada permusuhan masa lampau antara parti politik.

Malah ramai melaung ungkapan “dulu lawan kini kawan” yang merujuk kepada situasi 19 parti politik berkenaan yang dahulu sering bersaing dan bermusuhan, namun kini bersepakat membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil di peringkat Persekutuan dan negeri.

Mereka turut yakin, konvensyen yang julung kali diadakan itu menjadi wadah kepada kesemua 19 parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan untuk membina semua negara bangsa yang kukuh dan stabil serta memakmurkan kehidupan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here