TELUK INTAN, 19 Mei – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk pemasangan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di kawasan sering berlaku kemalangan jalan raya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemasangan kamera AWAS itu adalah satu daripada jalan penyelesaian bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.

“Ini (pemasangan kamera AWAS) belum lagi dalam perancangan tetapi kemungkinan itu ada. Apa sahaja kaedah yang boleh menjamin keselamatan pengguna jalan raya, kita sedia berbincang dengan mana-mana kementerian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan KKR menyalurkan peruntukan sejumlah RM1.7 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan di Jalan Persekutuan di FT058 Jalan Bidor – Teluk Intan yang sering menjadi lokasi kemalangan sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Nanta berkata KKR telah memperuntukkan sebanyak RM42.4 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan di Jalan Persekutuan di Perak membabitkan laluan sepanjang 1,514 kilometer.

“Beberapa projek naik taraf juga sedang dilaksanakan iaitu penggantian beberapa jambatan iaitu Jambatan Sungai Bogak di daerah Kerian, Jambatan Sungai Air Puteh di daerah Larut, Matang dan Selama, Jambatan Manjung serta jambatan Sungai Kinchap di Kampar.

Dalam pada itu, Nanta berkata kementerian turut meluluskan peruntukan awal berjumlah RM30 juta tahun ini bagi kerja-kerja menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli. 

“Peruntukan itu membabitkan kerja-kerja penyenggaran di laluan tersebut  yang berusia lebih 40 tahun dan sudah semakin uzur serta sering menjadi rungutan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here