KUALA LUMPUR, 29 Mei – Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah menganjurkan Bengkel Serantau mengenai Subsidi Perikanan untuk Rantau Asia dari 23 hingga 25 Mei lepas di sini, bagi meningkatkan lagi pemahaman umum mengenai perjanjian subsidi perikanan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, ia dianjurkan dengan objektif memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai Perjanjian WTO berkaitan Subsidi Perikanan yang diterima pakai semasa Persidangan Menteri Kedua Belas (MC12) dari 12 hingga 17 Jun 2022, di Geneva, Switzerland.

“Perjanjian itu menetapkan disiplin bagi melarang subsidi perikanan berbahaya yang menyumbang kepada penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang, yang tidak dilaporkan, tidak terkawal dan berkenaan dengan stok tangkapan yang terlalu banyak.

“Untuk menjaga kehidupan nelayan skala kecil dan artisanal, perjanjian itu juga memberikan pengecualian tertentu kepada nelayan di negara-negara anggota WTO sedang membangun dan kurang membangun.”

Negara anggota WTO juga sedang merundingkan peruntukan tambahan untuk dimasukkan dalam perjanjian bagi menggariskan disiplin untuk membendung subsidi perikanan yang menyumbang kepada lebihan kapasiti dan penangkapan ikan berlebihan.

Bengkel itu dirasmikan bersama oleh timbalan ketua pengarah WTO Angela Paolini Ellard dan Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here