KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata tawaran untuk parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan bukan tawaran baharu sebaliknya dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“(Ada tawaran sertai kerajaan)… selepas pilihan rayalah, sekarang ni tak adalah,” katanya.

Beliau berkata pada masa itu, banyak tawaran diterima PAS daripada pelbagai pakatan politik namun parti itu menegaskan ia akan terus berada dalam Perikatan Nasional.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin PAS mendakwa beberapa ‘individu tertentu’ menghubungi mereka bagi mengadakan pertemuan yang antara lain bertujuan menawarkan parti itu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pemimpin PAS berhubung tawaran kerjasama antara parti itu dan Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here