KUALA LUMPUR, 4 Jun – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) mencadangkan agar kerajaan bertindak mewujudkan kawasan bandar dan perbandaran baharu khusus bagi tujuan rumah sewa dan mampu milik.

ACCCIM berkata bandar baharu tersebut perlu mempunyai keluasan memadai bagi mewujudkan ekosistem perbandaran lestari untuk menarik industri, aktiviti perdagangan serta peluang pekerjaan untuk para penduduknya.

Langkah itu, katanya, akan turut mengurangkan masalah kesukaran mendapatkan rumah bagi tujuan sewaan yang boleh mencetuskan isu gelandangan.

“Perancangan yang lengkap dengan kemudahan kesalinghubungan pengangkutan dan perkhidmatan komuniti akan membolehkan penduduknya mendapat peluang pekerjaan,” katanya.

ACCCIM membuat cadangan itu susulan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya dasar perumahan mampu milik sedia ada dikaji semula.

Ia juga menyifatkan kajian semula itu sudah lama tertangguh berikutan penyampaian rumah mampu milik telah menyebabkan pasaran bebas dan berpendapatan sederhana menjadi terlalu mahal.

“Jika tidak ditangani, kedua-dua aspek pembinaan bagi pasaran rumah mampu milik dan bebas akan terjejas dan menyebabkan usaha penyampaiannya menjadi susut.

“Malah, ini akan melonjakkan harga rumah manakala kekurangan rumah sewa atau sewa terlalu tinggi pula menimbulkan isu gelandangan sepertimana berlaku di negara maju dan bandar raya global,” katanya.

ACCCIM berkata amalan masa kini yang membenarkan rumah-rumah bersubsidi tinggi dijual bagi tujuan pengewangan dan keuntungan luar biasa akan menimbulkan minat ketara terhadap hartanah jenis itu selain menggalakkan eksploitasi.

Selain itu, persepsi bahawa pemaju hartanah terbabit menanggung subsidi juga tidak tepat kerana ini sebaliknya akan disalurkan semula menerusi harga bagi perumahan pasaran bebas dan sederhana.

“Kesan paling tidak adil dan sukar dielakkan adalah pembeli daripada golongan berpendapatan sederhana yang membawa subsidi itu bagi membeli harga rumah yang lebih tinggi.

“Harga rumah untuk mereka yang berpendapatan sederhana telah melangkaui tahap mampu milik dan menyebabkan ramai yang gagal mempunyai rumah idaman masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here