KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) amat menyedari bahawa perubahan institusi dan dasar yang kukuh adalah penting dalam penciptaan tetingkap masa depan untuk inovasi sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang, kata menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata Miti bekerjasama rapat dengan agensi dan institusi penting seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia untuk merombak rangka kerja perindustrian negara.

“Pertama, kami mengenal pasti bahawa inovasi adalah pemacu utama untuk meningkatkan kekompleksan ekonomi Malaysia. Dalam perkara ini, Miti sedang mencipta semula cara supaya kami boleh membina kapasiti teknikal bagi meningkatkan proses pelaburan, perdagangan dan perindustrian untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif agar syarikat dapat menginovasikan produk atau perkhidmatan yang lebih baik.

“Kedua, kami berusaha memastikan agensi awam dan syarikat sektor swasta dapat menambah baik atau meningkatkan teknologi secara cepat, selamat dan sewajarnya, untuk memupuk ciri asas tersendiri dan budaya inovasi yang lebih luas di Malaysia,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa dorongan ke arah inovasi akan mempertimbangkan agenda lebih besar seperti sasaran sifar bersih pada 2050, dan jenis inovasi yang disasarkan dan dirangsang negara mesti menggalakkan keselamatan ekonomi dan keterangkuman.

Tengku Zafrul berkata menerusi Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kerajaan sedang meneliti secara serius untuk menambah baik prosedur yang perlu dilalui pelabur di Malaysia.

“Usaha ini telah pun bermula dengan pengumuman kerajaan pada 19 Mei baru-baru ini bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan menjadi pihak berkuasa penggalakan pelaburan utama bagi pelabur dan industri di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kedudukan Malaysia dalam Laporan Kedudukan Indeks Inovasi Global (GII) boleh dipertingkatkan melalui kerjasama rapat dengan negara seperti Sweden, antara peneraju global dalam bidang inovasi.

Pada 2022, Malaysia berada di kedudukan ke-36 dalam kalangan 132 ekonomi dan ketiga daripada 36 ekonomi kumpulan berpendapatan pertengahan atas berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Pada tahun yang sama, Sweden disenaraikan sebagai rakan dagangan ke-10 terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan RM4.70 bilion (US$1.07 bilion).

Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar Sweden dalam Asean selepas Vietnam, Singapura dan Thailand.

“Dari segi pelaburan, sehingga 2022, lebih 90 projek pembuatan melibatkan penyertaan syarikat Sweden telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM2.61 bilion (US$768.9 juta).

“Projek-projek ini telah mewujudkan lebih 5,720 peluang pekerjaan di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here