POKOK SENA, 10 Jun – Kerajaan memberikan jaminan untuk mempercepatkan kemajuan pelaksanaan 453 projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di Kedah pada 2023 yang melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM1.6 bilion.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua projek diluluskan itu mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan itu.

“Perbincangan kami di peringkat Jemaah Menteri, gesaan Perdana Menteri kepada semua kementerian apabila peruntukan telah diluluskan untuk memastikan bahawa projek itu berjalan dengan sempurna.

“Perdana Menteri minta kementerian-kementerian berkenaan setiap kali mesyuarat jemaah menteri, kami akan ada satu perbincangan khusus untuk memastikan semua yang telah diumum diluluskan mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penerangan projek bina baharu bengkel mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Sekolah Kebangsaan Jabi di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang membuat lawatan ke sekolah itu.

Untuk rekod, pada 29 April lepas, media melaporkan yang kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk Kedah dan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan tahun ini untuk pembangunan Kedah.

Saifuddin Nasution berkata Mesyuarat Jemaah Menteri setiap minggu tidak pernah meninggalkan perbincangan berhubung proses memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan kerajaan termasuk dari segi mengelakkan karenah birokrasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here