KUALA LUMPUR, 10 Jun – Parlimen Malaysia boleh memanfaatkan kaukus persahabatan Palestin-Malaysia untuk menzahirkan solidariti terhadap perjuangan Palestin dan membantu Liga Ahli Parlimen Al Quds (LP4Q) memberi tekanan yang kuat ke atas Israel.

Ketua Jawatankuasa Persahabatan Palestin-Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh berkata memandangkan platform keahlian LP4Q melangkaui kaum, agama dan fahaman politik dalam isu yang melibatkan Palestin, ia boleh dimanfaatkan lagi dengan penyertaan dan peranan lebih ramai ahli Parlimen dan media di seluruh dunia.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa LP4Q boleh memberi impak besar dan bergerak selangkah lebih dekat bagi melaksanakan tindakan konkrit terhadap isu Palestin dan perlindungan warisan sejarah Baitulmaqdis.

“Memandangkan Malaysia telah menjadi penyokong kuat terhadap perjuangan Palestin selama bertahun-tahun sekarang, adalah sesuai bagi Malaysia memanfaatkan peluang ini dan semua ahli Parlimen memainkan peranan dengan lebih baik.

“Oleh itu, kaukus di Parlimen akan memenuhi tujuan supaya Ahli Parlimen menggunakan media, serta teknologi seperti Instagram dan Facebook untuk menyebarkan tafsiran yang betul tentang isu semasa yang berkaitan Palestin dan rakyatnya.

Syed yang juga ahli jawatankuasa eksekutif LP4Q berkata demikian dalam rancangan bual bicara program “The Nation” Bernama TV bertajuk “L4PQ: Partnership: Parliament’s Game-Changer For Palestine”, di sini Jumaat.

Turut serta dalam program itu ialah Ketua Pengarah LP4Q Dr Mohammad Makram Omar Moh’d Balawi.

Malaysia mewujudkan semula jawatankuasa persahabatan /kaukus pada 2020 yang dibentuk pada 2018 untuk menjalin kerjasama erat dengan LP4Q, sebuah yayasan yang ditubuhkan pada Oktober 2015 atas inisiatif Ahli Parlimen yang menyokong hak Palestin.

Menurut laman sesawang yayasan itu, ia memiliki status pemerhati dalam Kesatuan Parlimen Negara Anggota OIC (PUIC), Kesatuan Parlimen Afrika (APU), Pertubuhan Ahli Parlimen Menentang Rasuah (GOPAC) dan Kesatuan Antara Parlimen Arab.

Menurut laporan, LP4Q mempunyai keanggotaan 700 Ahli Parlimen dari 70 negara setakat 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here