KUALA LUMPUR, 13 Jun – Literasi media kini telah menjadi kemahiran yang perlu dikuasai oleh pengguna media dalam kalangan generasi semasa, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Beliau berkata ini kerana mana-mana jua individu kini boleh menjadi ‘wartawan’ atau pencipta kandungan dengan mudah di media sosial, apabila maklumat boleh didapati hampir di mana-mana saja.

“Bagi orang awam, peningkatan literasi media akan memastikan mereka tahu cara mendapatkan, menggunakan dan membaca maklumat (dari saluran yang betul).

“Ini (celik media) adalah kemahiran yang diperlukan oleh generasi sekarang, dengan maklumat boleh didapati hampir di mana-mana, tetapi (ia juga perlu mengetahui) cara mencari maklumat yang betul dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan pandangan selaku ahli panel jemputan bagi dialog yang bertajuk ‘State of the Media: Freedom Isn’t Free‘ anjuran Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) di sini, hari ini.

Teo seterusnya mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada semasa menerima maklumat yang disebar menerusi sama ada media tradisional atau platform media sosial, kerana pencipta kandungan biasanya cenderung menyampaikan pandangan sepihak dalam isu-isu tertentu.

Beliau berkata orang ramai perlu faham niat beberapa entiti media yang menyokong pandangan suatu pihak tertentu sahaja dalam isu-isu tertentu yang dibangkitkan mereka, dan ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam negara.

“Walaupun kita tahu sebab-sebab mengapa mereka mempunyai pandangan sedemikian dalam beberapa isu tertentu, ia tidak bermakna mereka langsung tidak boleh dipercayai; ia sebenarnya terpulang kepada kita (pembaca) untuk mendapatkan maklumat dari sumber yang berbeza, supaya kita boleh memberikan pandangan atau keputusan yang benar-benar tepat selepas memperoleh maklumat yang menyeluruh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here