ALOR SETAR, 15 Jun – Kerajaan Kedah tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan projek kuari batu kapur di Gunung Pulai dan Gunung Baling, dekat Baling kerana kelulusan projek itu telah diberikan kepada syarikat yang terlibat oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sekiranya projek itu hendak dibatalkan, ia perlu diteliti secara menyeluruh berikutan ia bakal melibatkan aspek perundangan dan implikasi kewangan.

“Perkara itu sedang diuruskan dan ia bukan kelulusan baharu tetapi dari tahun 1997 lagi. Saya masih ingat kes dekat Singkir, hendak batalkan projek kuari kena bayar RM40 juta…kerajaan negeri mana ada duit banyak hendak bayar, sebab itu ia ambil masa untuk selesaikan isu ini.

“Tetapi, kerajaan negeri telah ambil pelbagai langkah antaranya pencegahan banjir dan sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan kerisauan penduduk di kawasan kaki dua gunung tersebut terhadap projek itu yang didakwa bakal memberi pelbagai implikasi negatif kepada aktiviti sosial dan ekonomi penduduk.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata sebuah syarikat multinasional (MNC) berteknologi tinggi dari Jerman, telah menyatakan hasrat untuk melabur di Kedah dengan nilai pelaburan yang akan diumumkan sendiri oleh syarikat itu nanti.

“Syarikat ini sedang mencari lokasi untuk meluaskan pelaburan mereka di peringkat antarabangsa, jadi kita tawarkan beberapa lokasi di Kedah khususnya di Kulim Hi-Tech. Cuma sekarang kita ada sedikit masalah pada Fasa 4A (di Kulim Hi-Tech Park), saya harap kerajaan Persekutuan dapat beri perhatian berkaitan perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi hadir di majlis penyerahan 150 set khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) di bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here