KUALA LUMPUR, 17 Jun – Malaysia mempunyai masa terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa negara kembali ke landasan yang betul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu dipersetujui pakar-pakar ekonomi selepas beliau mengadakan perbincangan terkait hala tuju ekonomi negara pada petang Jumaat.

Menurut perdana menteri, beliau faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran tetapi ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Namun, kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan. Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat,” katanya.

Perbincangan yang diadakan bersama pakar-pakar ekonomi itu turut dihadiri bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Ghani dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Turut hadir Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.

Mengenai perbincangan itu, Anwar berkata ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata perbincangan itu turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan. 

“Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here