PUTRAJAYA, 17 Jun – Usaha negara membanteras isu buruh paksa akan ditingkatkan secara komprehensif melalui pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, khususnya melalui penambahan Seksyen 90B berkaitan buruh paksa. 

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini berkata peruntukan itu menetapkan penalti kepada majikan yang melakukan kesalahan buruh paksa di bawah akta tersebut.

Beliau berkata ia adalah antara langkah untuk membanteras isu berkaitan buruh paksa, selain memperbaiki penilaian Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (US TIP Report) 2023 seperti yang dikeluarkan semalam.

Katanya Malaysia mengalu-alukan laporan tersebut yang meletakkan negara di Tahap 2 Pemerhatian iaitu peningkatan setelah dua tahun berturut-turut berada di Tahap 3.

“Peranan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan diperkukuh melalui pembangunan kapasiti pemeriksa buruh bagi memastikan lebih banyak pendakwaan dibuat ke atas majikan yang melakukan kesalahan terutamanya berkaitan kes buruh paksa.

“Aspek perlindungan sosial dan aspek perburuhan kepada pekerja asing juga akan ditingkatkan termasuk pekerja domestik, pekerja sektor perladangan dan pembuatan sarung tangan getah,” katanya.

Sivakumar berkata kerjasama dengan AS juga akan diperkukuh melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi meningkatkan imej negara, sekali gus memastikan produk tempatan tidak dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berikutan isu buruh paksa.

Beliau berkata usaha negara dengan kerjasama wakil kesatuan sekerja, persekutuan majikan dan industri turut dipergiatkan dalam melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025.

Menurutnya ini selaras dengan komitmen negara yang telah meratifikasi Protokol 2014 kepada Konvesyen Buruh Paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1930 (P29), serta menangani isu-isu berkaitan pengurusan pekerja asing dengan lebih baik termasuk mengadakan kerjasama strategik dengan negara sumber. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here