KOTA TINGGI, 18 Jun – Perjumpaan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membuktikan keterbukaan Kerajaan Perpaduan untuk bertemu pelbagai pihak demi kepentingan rakyat dan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keterbukaan Perdana Menteri dalam perkara itu juga dapat dilihat apabila beliau mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ahli ekonomi dan pakar industri semalam bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara.

“Dalam keterbukaan Kerajaan Malaysia MADANI yang dipimpin Anwar, (pertemuan itu) menunjukkan keterbukaan beliau untuk menerima dan berjumpa bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Ini mungkin (ada) sesuatu (yang) menyebabkan beliau menjemput saudara Khairy dan saya percaya Khairy juga menggunakan segala peluang untuk menyampaikan apa sahaja pandangannya dalam soal membaiki dan melonjakkan kembali ekonomi Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri semalam. 

Terdahulu, Anwar dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebook berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mencari idea dan pandangan daripada semua lapisan masyarakat mengenai ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here