KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kerajaan akan membentang Akta Omnibus di Dewan Rakyat bagi membolehkan perkongsian data antara semua agensi kerajaan menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU). 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata akta berkenaan perlu memandangkan sistem PADU merupakan sistem pengumpulan data bersepadu yang lebih mudah diurus berbanding sistem pengumpulan data sedia ada. 

“Akta Omnibus ini  bukan sahaja akan memastikan (keselamatan) perkongsian data itu, ia akan memastikan bahawa proses perkongsian data itu menjadi satu mandat yang mengikut undang-undang demi menjamin PADU ini satu pangkalan data yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator E. Aknan mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk mengadakan satu akta dalam memastikan sistem PADU dapat digunakan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi.

Pada 15 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan PADU bagi menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar.

Rafizi berkata pangkalan data yang lebih bersepadu bermakna keselamatan data lebih selamat kerana data pada masa ini diurus secara berbeza di setiap kementerian dalam sistem sekarang dan pengurusan tidak dapat disatukan.

“Sistem yang besar dan bersepadu seperti itu akan membolehkan kerajaan dapat membina kepakaran dan langkah keselamatan siber yang lebih baik daripada pecah di beberapa tempat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here