KUALA LUMPUR, 23 Jun – Sebanyak 151 Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara akan dibaik pulih agar lebih kondusif dan selesa untuk anggota bertugas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata keadaan pos kawalan di kawasan sempadan sebahagiannya berada dalam keadaan daif, malah ada yang lantainya telah reput.

“Saya ada membuat tinjauan di pos kawalan PGA dan mendapati ia telah usang, malah ada yang tidak boleh digunakan lagi.

“Kita hendak membaik pulih agar keadaan pos kawalan lebih kondusif dan anggota bertugas boleh berada dalam keadaan selesa, kerana mereka ini ditempatkan di lokasi strategik,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata anggaran peruntukan yang diperlukan untuk kos baik pulih itu ialah RM45 juta.

Terdahulu, Saifuddin Nasution memakaikan pangkat Ketua Polis Negara kepada Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengenai pelantikan dua jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, Saifuddin Nasution berkata ia merupakan satu gabungan yang mantap.

Beliau berkata Razarudin dan Ayob Khan dilihat menunjukkan kepimpinan cemerlang dan dapat meneruskan reputasi PDRM, bagi menjaga ketenteraman dan keamanan negara.

“Saya mempunyai harapan dan keyakinan sangat tinggi, agar PDRM di bawah kepimpinan mereka dapat meneruskan kelangsungan yang ditinggalkan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Saya percaya gandingan ini sangat mantap…dengan pengalaman Razarudin dan kualiti kepimpinan ditunjukkan Ayob Khan selama ini, akan membolehkan PDRM meneruskan reputasi sebagai penguat kuasa terbesar dalam negara,” katanya.

Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan semalam mengumumkan Razarudin yang sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu, menggantikan Acryl Sani manakala Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here