PENAMPANG, 25 Jun – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal mewujudkan 186 lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negera yang dijangka mula beroperasi hujung tahun ini, kata Timbalan Menterinya Teo Nie Ching.

Beliau berkata PEDi baharu berkenaan sebagai tambahan kepada 911 PEDi sedia ada di seluruh negara, sekali gus memastikan sasaran setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai sekurang-kurangnya satu PEDi.

“Sebanyak 13 PEDi baharu berkenaan akan diwujudkan di Sabah sebagai tambahan kepada 118 PEDi sedia ada dan kini kementerian dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai untuk mewujudkan kemudahan berkenaan,” katanya.

Teo berkata tender terbuka untuk projek berkenaan akan dilaksanakan September ini dan PEDi dijangka dapat disiapkan serta mula beroperasi hujung tahun ini.

“Kita berharap apabila siap kelak PEDi berkenaan dapat melipatgandakan usaha memberi penekanan kepada penjanaan pendapatan serta membantu ekonomi rakyat melalui e-dagang melalui kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta.

“Pelbagai program keusahawanan akan diketengahkan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui platform e-dagang, memahami kebolehpasaran produk, khidmat dalam strategi penjenamaan, pemasaran, pembungkusan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata melalui PEDi banyak usahawan kecil dapat memasarkan produk berkualiti mereka bukan sahaja di dalam negara malah ke luar negara.

“Pada lawatan saya hari ini saya berbangga kerana ada usahawan kecil yang berjaya memasarkan produk mereka hingga ke Brunei… ini menunjukkan ada potensi untuk memajukan e-dagang dengan bantuan PEDi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here