KANGAR, 25 Jun – Fasa kedua Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) memberi fokus kepada usaha menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata ia meliputi beberapa hala tuju dan inisiatif yang merangkumi dasar, polisi dan implikasi kewangan untuk jangka masa panjang bagi mencapai matlamat utama iaitu menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera.

“Selain penganjuran karnival-karnival kesihatan sepertimana yang diadakan pada hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha mencari idea dan pendekatan baharu bagi membantu rakyat mencapai dan mengekalkan tahap kesihatan yang sihat menerusi mesej promosi dan pendidikan kesihatan,” katanya.

Karnival itu diadakan bersempena dengan sambutan hari ulang tahun keputeraan ke-80 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan karnival berkenaan, berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dr Zaliha berkata untuk mencapai hasrat itu, pelbagai kempen dilaksanakan di bawah Teras 1 ANMS iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah media seperti media sosial, media konvensional, media cetak dan digital.

Katanya di peringkat negeri Perlis pula, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) aktif menggunakan Facebook sebagai wahana menyampaikan mesej kesihatan buat rakyat di negeri ini termasuk menganjurkan program aktiviti kecergasan yang dijalankan setiap Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here