ALOR SETAR, 26 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 akan dibubarkan pada Rabu ini (28 Jun) bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengumumkan perkara itu berkata berkata penetapan tarikh dibuat selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa saya telah diterima mengadap Tuanku Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah untuk memohon perkenan bagi pembubaran DUN Kedah yang ke-14.

“Tuanku telahpun memberi perkenan untuk DUN Kedah yang ke-14 ini dibubarkan pada 28 Jun 2023,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata sehubungan itu, bermula pada tarikh berkenaan pentadbiran Kerajaan Negeri akan dijalankan oleh kerajaan interim ataupun Caretaker Government, dengan segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga Kerajaan Negeri yang baharu dibentuk selepas PRN yang akan datang.

Tindakan dua ADUN itu selain penarikan sokongan oleh empat ADUN Bersatu menyebabkan Menteri Besar ketika itu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hilang sokongan majoriti dan beliau mengumumkan melepaskan jawatannya pada 17 Mei 2020.

PN kemudian membentuk kerajaan negeri selepas memiliki 23 kerusi yang terdiri daripada PAS (15 kerusi) dan Bersatu (empat kerusi) serta sokongan BN (dua kerusi) dan dua wakil rakyat Bebas (bekas ADUN PKR) dengan Muhammad Sanusi dipilih sebagai Menteri Besar Kedah dan kemudian mengangkat sumpah pada 17 Mei 2020.

Sementara itu, Mukhriz yang juga ADUN Jitra bersama ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah dilaporkan digugurkan keahlian daripada Bersatu pada 28 Mei 2020 dan menganggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi wakil rakyat parti itu sehingga kini.

Dua bekas ADUN PKR yang menjadi wakil rakyat Bebas pula mengumumkan menyertai Bersatu pada Sept 2020.

Sementara itu, susulan PRU15 pada Nov lepas dan pembentukan kerajaan Persekutuan yang turut disertai BN dalam Kerajaan Perpaduan, penguasaan kerusi PN di DUN Kedah berkurangan kepada 21 kerusi tanpa sokongan dua ADUN BN.

Pada 18 Dis lepas, ADUN Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusi yang disandangnya itu selepas dilaporkan menjadi antara calon disenaraikan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

PAS pula kehilangan seorang wakil rakyatnya selepas ADUN Belantek Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, dilaporkan akibat jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang pada 14 Jun lepas.

Kedudukan terkini kerusi DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); PH memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); BN memiliki dua kerusi (UMNO-2) dan Pejuang (2), manakala dua lagi kerusi yang ditinggalkan Johari dan Mohd Isa kekal kosong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here