KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini mengekalkan kemenangan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menolak petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman (pempetisyen), bagi mencabar kemenangan Abdul Hadi (responden).

Beliau berkata pempetisyen gagal membuktikan terdapat elemen rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan memerintahkan Jasmira membayar kos RM50,000 kepada Abdul Hadi.

“Oleh itu mahkamah ini mengesahkan responden telah dipilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Marang,” katanya.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada  3 Jan lepas, antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lepas, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang Dr Zarawi Sulong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here