KUALA LUMPUR, 18 Julai – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mempercepat Projek Pakej D44 Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan di Bunus bernilai RM393 juta, yang tertangguh sejak sekian lama.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata matlamat akhir Projek Pakej D44 adalah memastikan projek berkenaan siap menjelang November ini kerana telah tergendala sejak 2014 dan setakat ini telah mencapai kemajuan sebanyak 92.18 peratus.

“Ia (Projek Pakej D44) mengalami kelewatan dari tarikh penyiapan asal iaitu Februari 2018 dan kontraktor telah diberi pelanjutan masa hingga 22 Nov 2023 untuk menyiapkan kerja-kerja di tapak sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat akan diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK) serta kontraktor, Puncak Niaga bagi tujuan itu.

Projek Pakej D44 Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan merupakan sebahagian daripada inisiatif River of Life Greater KL untuk meningkatkan kualiti air sungai dengan penumpuan kepada kawalan pencemaran kumbahan di kawasan tadahan pembetungan Bunus.

Skop projek meliputi reka bentuk dan pembinaan rangkaian paip pembetungan sepanjang 55 kilometer, naik taraf dua stesen pam utama KLR 289 dan KLR 030 serta naik taraf lapan loji kepada stesen pam bagi melengkapkan sistem rangkaian paip pembetungan.

Kelewatan projek adalah disebabkan beberapa faktor seperti pertindihan kawasan kerja dengan pihak ketiga, penangguhan kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), profil tanah tidak stabil dan berbatuan keras yang memberi kesan kepada produktiviti kerja serta isu kewangan pihak kontraktor.

Nik Nazmi berkata pihak NRECC dan JPP sedia maklum kelewatan penyiapan projek telah mengundang rungutan orang awam dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pelaksanaan projek. 

“Pihak kontraktor telah diarahkan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyegerakan penyiapan kerja terutama di kawasan-kawasan kritikal seperti di hadapan Pasar Ayer Panas, Jalan Enggang, kawasan AU5 dan AU4 serta di Jalan Maktab,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here