KUALA LUMPUR, 21 Julai – Mewujudkan unit terselaras bersama penyedia platform media sosial bagi menangani isu berkaitan 3R (raja, agama dan kaum) mampu membendung paparan isu terbabit tanpa menyekat hak kebebasan bersuara selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata unit itu akan menangani isu 3R yang sering diutarakan dalam media sosial dan kesukaran yang dihadapi kerajaan untuk memohon kerjasama pemilik akaun bagi membantu mengawal selia hantaran mengenai ketiga-tiga isu sensitif berkenaan.

“Rasanya kerajaan tidak mahu mereka yang menimbulkan isu 3R dituduh di bawah undang-undang jenayah kerana ia seolah-olah menunjukkan kerajaan mengekang kebebasan bersuara.

“Sebaliknya dengan penglibatan peneraju media sosial, kerajaan mungkin mengambil tindakan lebih lembut dengan menasihati mereka yang menyalahgunakan isu 3R,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pensyarah Undang-Undang di Universiti Taylors itu juga berkata melalui peneraju media sosial, hantaran tersebut akan dikenal pasti sumbernya dan tindakan lanjut boleh diambil oleh pihak berkuasa sama ada secara keras atau menasihati.

Meskipun Nik Ahmad Kamal berpendapat pendekatan terbaik ialah menasihati dan memberi peringatan kecuali kepada mereka yang degil atau tegar, yang menurutnya kumpulan sebegitu amat kecil, beliau berkata unit itu hanya akan berjaya jika mendapat kerjasama penuh peneraju media sosial.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan satu unit terselaras antara agensi penguat kuasa dan penyedia platform media sosial bagi menangani isu berkaitan 3R.

Unit yang melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan meraih sokongan politik dengan menyalahgunakan isu 3R sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Turut senada, Pakar Perlembagaan Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata unit itu tidak sama sekali menyekat hak kebebasan bersuara kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, kebebasan bersuara tidak mempunyai hak mutlak dan mempunyai batasan yang perlu dihormati.

“Hanya mahkamah yang boleh menentukan hukuman atau menilai seseorang bersalah atau tidak termasuk dalam isu berkaitan 3R ini. PDRM pula hanya menjalankan siasatan dan bukan kerajaan atau polis yang menjatuhkan hukuman. Jadi, tidak timbul soal hak kebebasan di sini,” katanya.

Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) itu berkata seorang warganegara dan pemimpin yang bertanggungjawab harus patuh kepada prinsip Rukun Negara khususnya kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan.

Menyifatkan pewujudan unit terselaras bagi menangani isu berkaitan 3R sebagai niat baik kerajaan, beliau berkata kerajaan, melalui MCMC, hanya harus bertindak sebagai penyedia maklumat atau kandungan berkaitan 3R kepada badan penguat kuasa dan bukan menapis kandungan media sosial kerana ia boleh mengundang kemarahan masyarakat.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula menyifatkan unit terselaras itu sebagai penting untuk jangka panjang bagi pembentukan ideologi.

Beliau berkata ideologi itu akan hampir sama berhubung pemahaman negara dan isu berkaitan 3R, berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang perlu dijadikan tunjang perpaduan bagi mana-mana pemimpin atau masyarakat di Malaysia.

“Ini akan berupaya mewujudkan satu keharmonian dan perasaan untuk bersama memelihara Perlembagaan dan Rukun Negara serta menjauhi isu berkaitan 3R supaya dapat dijadikan sebagai satu nilai ideologi dalam aspek kepimpinan, ekonomi serta memupuk perpaduan dalam negara,” katanya.

Menyokong usaha KKD itu, Noor Nirwandy berkata ia juga perlu disertakan dengan ilmu gerak saraf dan perang saraf bagi memastikan elemen berkaitan 3R diberi perhatian serius dalam membangunkan fahaman asas kepada masyarakat mengenai isu itu.

Beliau juga berpendapat setiap pemimpin parti politik seharusnya berpegang teguh pada sumpah jawatan dan taat setia semasa mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat bagi mengelakkan mereka menyentuh isu berkaitan 3R yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Ini asas yang perlu difahami dan tanggungjawab itu adalah cukup signifikan. Jadi, apabila wujudnya satu watak kepimpinan yang menyentuh perkara 3R dalam kalangan masyarakat maka kita (kerajaan) tidak boleh bertoleransi,” katanya.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, parti itu menerima baik cadangan penubuhan unit khas bagi memastikan tiada pihak yang cuba meraih sokongan demi kepentingan politik sepanjang PRN.

“Cadangan itu bagus, kita juga tidak mahu apabila kita berkempen sehingga melanggar batasan dan mencetuskan ketegangan antara kaum, kita pun tidak suka,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Muzium Islam di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here