HANOI, 22 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Vietnam menyampaikan hasrat supaya jalinan hubungan kerjasama dua hala negara itu dan Malaysia ditingkatkan ke tahap tertinggi.

Beliau berkata kerajaan Vietnam memandang tinggi kepada Malaysia yang dianggapnya sebagai rakan strategik penting negara itu.

Anwar juga berkata beliau telah menjemput Presiden Vietnam Vo Van Thuong untuk melawat Malaysia dan Vo turut mengundang Yang di-Pertuan Agong untuk melawat ke Vietnam.  

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama media Malaysia pada akhir lawatannya ke Vietnam sebelum penerbangan pulang  ke Kuala Lumpur.

Mengenai pelbagai perbincangan beliau dengan Kerajaan Vietnam hasil pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin utama negara itu sepanjang lawatannya, Anwar berkata ia termasuk berkait dengan keselamatan siber serta sempadan kedua-dua negara.

Anwar berkata pihaknya juga ada membangkitkan isu mengenai pencerobohan nelayan Vietnam ke kawasan perairan Malaysia dan negara itu memberi komitmen untuk menyelesaikan masalah itu dengan kerjasama antara tentera laut Vietnam dan Malaysia.

“Yang lain dalam bidang pelaburan, industri halal dan kita galakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur dan memajukan industri halal yang sangat penting dalam negara ini, yang penting manfaat kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai apa yang Malaysia boleh tawarkan dalam perkembangan industri halal di Vietnam, Anwar berharap syarikat industri halal Malaysia dapat datang ke Vietnam untuk bersama-sama syarikat di sini  untuk membina industri itu.

Mengenai usaha memudahkan pelaburan domestik dan asing di Malaysia, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata program dan dasar terperinci mengenai perkara itu akan diumumkan pada  Isnin ini selepas mesyuarat Majlis Pelaburan Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here