KUANTAN, 25 Julai —  Kejadian tanah mendap di KM66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur dan barat dekat Bentong telah mengakibatkan laluan di lokasi berkenaan terhalang.

Sehubungan itu, Lebuhraya Pantai Timur dalam catatan di laman Facebook meminta supaya pengguna dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke persimpangan Bentong Barat.

“Bagi pengguna dari Kuala Lumpur ke Kuantan diarahkan keluar ke persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke persimpangan Bentong Timur,” menurut catatan itu yang telah dimuat naik malam ini.

Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan permukaan jalan berlubang besar akibat mendapan tanah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran di Facebooknya malam ini memaklumkan beliau telah mengarahkan semua agensi dan syarikat konsesi terlibat untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya ambil maklum kes jalan mendap yang berlaku di KM66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak yang berlaku sebentar tadi. Saya telah mendapatkan maklumat daripada pegawai dan difahamkan kejadian berlaku sekitar 8.34 malam.  Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kejadian mendapan tanah berlaku di KM 66.1 arah barat dan timur, antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur,” katanya.

Beliau berkata status terkini semua lorong arah timur dan barat ditutup dan pengguna menghala ke arah Kuantan atau Karak dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Timur. 

“Pengguna yang ingin menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) untuk ke Kota Bharu dibenarkan menggunakan Persimpangan CSR manakala pengguna ke arah Kuala Lumpur dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Barat. 

Trafik dalam keadaan terkawal. Saya telah mengarahkan jabatan dan agensi yang terlibat supaya memberikan saya kemas kini kejadian ini kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here