GOMBAK, 29 Julai — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berdepan persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.

Amirudin berdepan calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Muhammad Hanif Jamaluddin dan G. Suman yang bertanding atas tiket Bebas. 

Pencalonan ketiga-tiga calon itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nor Azlina Abdul Aziz di Pusat Penamaan Calon Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain daripada BN, PAS dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN itu.

Sementara itu kerusi DUN Gombak Setia menyaksikan pertandingan tiga penjuru buat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO).

Megat Zulkarnain akan bertemu penyandang Muhammad Hilman Idham (PN-Bersatu) dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.

Pengumuman calon DUN Gombak Setia itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Hasrul Hisham Abdullah. 

Pada PRN14, Muhammad Hilman yang mewakili PKR menang dengan majoriti 12,399 undi sekali gus menewaskan Hasbullah Ridzwan (PAS) dan Megat Zulkarnain (BN).

Dalam pada itu, Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhadapan calon PH Juwairiya Zulkifli yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR bagi kerusi DUN Hulu Kelang.

Kedua-dua figura politik itu bertanding di kerusi baharu pada PRN kali ini. 

Juwairiya yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR sebelum ini adalah ADUN Bukit Melawati manakala Mohamed Azmin merupakan bekas ADUN Bukit Antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here