KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar nama laluan bagi perkhidmatan bas GOKL daripada menggunakan warna kepada model nombor mulai semalam (1 Ogos).

DBKL dalam notis pemakluman awam hari ini menjelaskan pertukaran itu melibatkan 14 laluan bagi memudahkan penumpang mengingati nama laluan berbanding penggunaan warna yang dilihat rumit dan mengelirukan.

”Bagaimanapun, nama warna akan dikekalkan di hujung nama laluan bagi tempoh sementara untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai,” menurut notis pemakluman itu.

Laluan itu ialah Laluan Hijau yang membabitkan perjalanan dari KLCC ke Bukit Bintang yang ditukar kepada GOKL 01, Laluan Ungu (Hab Pasar Seni-Bukit Bintang) kepada GOKL 02, Laluan Merah (Hab Titiwangsa-KL Sentral) kepada GOKL 03 dan Laluan Biru (Hab Titiwangsa-Bukit Bintang) kepada GOKL 04.

Turut terlibat Laluan Jingga (Hab Titiwangsa-MINDEF) kepada GOKL 05, Laluan Merah Jambu (PPR Pantai Ria-LRT Universiti) kepada GOKL 06, Laluan Biru Firus (LRT Dato’ Keramat-Kelumpuk Bambu (Setiawangsa) kepada GOKL 07, Laluan Merah Manggis (MRT Kampung Batu-Chow Kit) kepada GOKL 08 dan Laluan Coklat (LRT Sri Rampai-Seksyen 10 Wangsa Maju) kepada GOKL 09.

Laluan lain ialah Laluan Hijau Serindit (Terminal Maluri-Bandar Sri Permaisuri) kepada GOKL 10, Laluan Kelabu (MRT Maluri-Bandar Tun Razak) kepada GOKL 11, Laluan Krim (Taman Fadason-MRT Sri Delima) kepada GOKL 12, Laluan Merah Lembayung (MRT Jinjang-MATRADE) kepada GOKL 13 dan laluan terbaharu dari Kompleks Komuniti Muhibbah ke PPR Pinggiran Bukit Jalil menggunakan model nombor GOKL 14.

Sehubungan itu, pengguna digalakkan memuat turun dan menggunakan aplikasi GOKL bagi mengetahui maklumat atau pengumuman terkini dari semasa ke semasa mengenai perkhidmatan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here