KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Kementerian Pengangkutan (MOT) mempunyai pelbagai perancangan untuk memanfaatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai pemangkin pembangunan ekonomi di Terengganu.

Menterinya Anthony Loke berkata banyak lokasi perindustrian baharu yang boleh dibangunkan di sepanjang jajaran projek ECRL melibatkan jarak 640 kilometer yang dijangka mula beroperasi pada 2027.

“Ia bukan sahaja akan digunakan sebagai mod pengangkutan, malah sebagai mekanisme pertumbuhan ekonomi di sepanjang kawasan dilaluinya. Setakat ini banyak perbincangan dibuat dengan syarikat swasta untuk majukan kawasan berkenaan. 

“Di sepanjang laluan itu juga akan dibina banyak tempat pemindahan kargo. Ini faktor penting untuk pertumbuhan kawasan perindustrian di situ nanti, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir majlis Dialog Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa We Sin di sini, hari ini. 

Beliau berkata penggunaan ECRL untuk memindahkan kargo itu juga nanti adalah selaras dengan dasar yang sedang diusahakan MOT dengan menyasarkan pengurangan kebergantungan kerja pemindahan kargo ke pelabuhan menggunakan jalan raya, disifatkannya sebagai berisiko.

“Ia termasuk laluan jalan raya yang berbukit selain banyak laporan kemalangan melibatkan treler mengangkut barangan ke pelabuhan. Jadi, apabila kargo ini diangkut menggunakan ECRL, banyak risiko boleh dikurangkan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here