PUTRAJAYA, 15 Ogos – Bagi menghargai sumbangan kakitangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan petugas media, buat julung kalinya KPKT akan menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023 tahun ini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata pencalonan bagi kedua-dua anugerah itu telah dibuka, dan ia akan ditutup pada 14 Ogos ini bagi Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023, manakala tarikh tutup bagi Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023 pada 5 Sept ini.

Beliau berkata sehingga kini KPKT telah menerima 227 pencalonan bagi Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 dan 50 karya bagi Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan saya harap lebih ramai tampil kemukakan pencalonan dan karya anda,” katanya.

Merujuk kepada Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 itu Nga berkata, ia merupakan suatu usaha bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan KPKT, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) agar terus berkhidmat dengan cemerlang, progresif, berdaya maju dan dinamik.

Anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM20,000, sijil penghargaan, trofi dan kursus jangka pendek di universiti ternama di luar negara itu, dibahagikan kepada 12 kategori antaranya Anugerah Keunggulan Menteri, Anugerah Kepimpinan Terbaik, Anugerah Personaliti Unggul, Anugerah Kepimpinan PBT, Anugerah Hijau KPKT, Anugerah Organisasi Sejahtera dan Anugerah PBT Cemerlang.

“Kursus jangka pendek merupakan hadiah paling berprestij untuk beri peluang kepada pemenang menjalani kursus kepimpinan selama dua minggu di universiti terpilih di luar negara,” katanya dan menambah, KPKT sedang berbincang dengan Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan Universiti Oxford, United Kingdom mengenai perkara itu.

Nga berkata penilaian bagi setiap penyertaan akan dibuat oleh panel yang terdiri daripada rakan strategik dan pihak bebas luar manakala majlis penganugerahan akan diadakan pada 11 Nov ini.

Bagi Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023, beliau berkata ia melibatkan 10 kategori antaranya Anugerah Liputan Perumahan Terbaik, Anugerah Liputan Wira Merah Terbaik, Anugerah Liputan Radio Terbaik, Anugerah Kewartawan Foto Terbaik dan Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri.

“Setiap karya yang dihantar akan dinilai juri profesional dan bebas iaitu Malaysia Press Institute,” katanya.

Menurutnya majlis penyampaian anugerah berkenaan akan diadakan pada 3 Nov ini dengan hadiah yang ditawarkan adalah wang tunai antara RM3,000 dan RM10,000 serta trofi.

Maklumat lanjut berkaitan kedua-dua anugerah itu boleh didapati di laman sesawang KPKT www.kpkt.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here