KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kementerian Pengangkutan akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pada masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penangguhan operasi model pesawat tersebut.  

“Saya akan minta CAAM untuk buat siasatan terhadap model tersebut dan apa sahaja keputusan perlulah kita buat secara teliti selepas siasatan oleh pihak teknikal dan pihak berkuasa. 

“Pada ketika ini belum ada apa-apa keputusan terburu-buru diambil, jadi pihak CAAM sudah tentu akan buat siasatan terperinci terhadap semua model yang sedang digunakan di Malaysia berkenaan dengan pesawat tersebut,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum  Persefahaman antara Yinson Holdings Bhd, RRJ Capital dan Farosson di sini hari ini.  

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor mengakibatkan 10 lelaki maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun. 

Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here