BEIJING, 21 Ogos – China bersedia terus bekerjasama dengan Iran untuk saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras satu sama lain, kata Menteri Luar Wang Yi semasa perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Hossein Amir Abdollahian pada Ahad.

Wang berkata China ingin bersinergi dengan Iran dalam usaha menentang campur tangan luar dan amalan membuli, mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan kedua-dua negara dan melindungi kepentingan bersama negara membangun serta keadilan antarabangsa.

Selepas berlangsungnya dialog Iran-Arab Saudi di Beijing, beliau berkata kedua-dua pihak terus mengambil langkah ntuk memperbaiki hubungan sehingga membentuk arus perdamaian di rantau Asia Barat.

“China menghargai keputusan tepat Iran dan akan terus menyokong negara-negara Asia Barat dalam meneroka jalan pembangunan yang sejajar dengan keadaan negara masing-masing, serta memperhebat komunikasi dan dialog antara satu sama lain,” kata Wang.

Sementara itu, Hossein Amir berkata pihaknya sangat mementingkan pembangunan perkongsian strategik komprehensif Iran-China dan berharap untuk memperdalam kerjasama di bawah rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memperkukuh penyelarasan serta kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas peranan konstruktif yang dimainkan China dalam menggalakkan pemulihan hubungan Iran-Arab Saudi.

Sesi perbincangan itu  juga dimanfaatkan dua Menteri Luar itu untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu nuklear Iran dan Hossein Amir turut mengemas kini perkembangan tentang rundingan dengan semua pihak terlibat.

Menurut Wang, isu berkenaan hanya dapat diselesaikan secara tuntas sekiranya pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) secara menyeluruh dan berkesan dapat dipulihkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here